SEORANG lelaki di Taiwan mengejutkan warga maya apabila melakukan eksperimen dengan memakan lipas dan berkongsi idea resipi berasaskan serangga tersebut di Facebook. Lelaki bernama Sun Kuocheng kemudian ditemu bual oleh laman berita, China Times selepas video dia memakan 'telur dadar lipas' tular di media sosial. Sun berkata, ramai yang pada mulanya tidak percaya apabila dia berkongsi resipi aneh berkenaan. Justeru, dia merakam video sebagai bukti menunjukkan dirinya menjamah hidangan tersebut. Menurut Sun, dia membiakkan lipas dari spesies Dubia di rumahnya sebagai makanan untuk reptilia peliharaannya. Namun baru-baru ini, lipas tersebut membiak dengan terlalu cepat dan reptilia peliharaannya tidak mampu menghabiskan 'santapan' mereka, menyebabkan dia mengambil keputusan untuk memakan serangga itu sendiri. Selepas membuat sedikit kajian di internet, Sun mendapat idea untuk menggunakan lipas di dalam resipi telur dadar. Ujar Sun, serangga itu tidak mempunyai bau yang pelik, mempunyai sedikit rasa cendawan, dan mempunyai rasa seakan udang pada kulitnya. Sun berkata dia telah memakan lipas itu selama beberapa hari dan dapat merasakan perubahan pada tubuhnya, antaranya cepat berasa kenyang dan tidak perlu menjamah makanan dengan banyak. -TaiwanEnglishNews Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!