suria

Lelaki ala Pak Arab masuk showroom bawa dulang duit ditahan, ‘angin’ ditunjukkan kereta tak cukup mahal

Seorang lelaki ditahan selepas membuat content di sebuah bilik pameran kereta di Dubai.

SEORANG lelaki ditahan gara-gara video komedi memaparkan dia berpakaian seperti 'Pak Arab' dan berpura-pura membeli kereta mewah menggunakan wang tunai.

Penduduk Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu didakwa menyiarkan 'propaganda yang mencetuskan pandangan umum dan membahayakan kepentingan awam', menurut agensi berita negeri, WAM, pada Ahad.

Penahanannya diarahkan oleh Pendakwaan Persekutuan untuk Membanteras Khabar Angin dan Jenayah Siber. Dia juga didakwa menerbitkan kandungan yang menghina masyarakat UAE.

Menurut WAM, lelaki itu yang berasal dari sebuah negara Asia dirakam memakai jubah tradisional warga UAE ketika memasuki bilik pameran kereta mewah, dengan dua pembantunya membawa dulang besar berisi wang tunai.

Bercakap dalam bahasa Inggeris dengan loghat Arab, dia meminta kereta dengan harga paling mahal tetapi kemudian menolaknya, dengan alasan harga 2.2 juta dirham (RM2.78 juta) tidak cukup mahal.

"Saya nak yang mahal, saudara," katanya sambil melemparkan duit kopi kepada pembantu premis dan memesan empat kereta mahal termasuk Rolls-Royce dalam masa beberapa saat.

Video itu dianggp mendedahkan ketidaksopanan dan kurang menghargai nilai wang, dengan cara mempromosikan imej mentaliti yang salah dan menyinggung perasaan warga Arab dan mengejek mereka, menurut laporan WAM.

Pejabat Pendakwa Raya juga memanggil pemilik bilik pameran kereta itu dan menggesa pengguna media sosial untuk mempertimbangkan nilai dan ciri-ciri kemasyarakatan tempatan bagi mengelak daripada tindakan undang-undang.

Undang-undang UAE menentang penyebaran khabar angin dan maklumat palsu dengan kawalan ketat. -AFP

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain