SEORANG penuntut universiti maut dihempap sebuah pendingin hawa seberat 30kg yang terjatuh dari tingkat 17 sebuah bangunan. Mangsa, yang hanya dikenali sebagai Huang dari Universiti Kebangsaan Chengchi sedang menunggu di perhentian bas dekat Stesen MRT Xinpu di daerah Banqiao, Taiwan, dalam kejadian pada Khamis. Sebuah video tular menunjukkan seorang wanita berpakaian kasual, memakai topeng dan membawa beg galas sedang berjalan menuju ke perhentian bas pada pukul 1.06 tengah hari. Tiba-tiba satu unit penyaman udara terjatuh, hampir terkena seorang lagi wanita yang kelihatan seperti sedang menghampiri Huang. Seorang wanita lain juga sempat mengelakkan diri daripada dihempap. Menurut media tempatan, Huang yang berusia 21 tahun cedera parah di kepala dan patah kaki akibat kejadian itu. Huang diberikan rawatan kecemasan sebelum dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia oleh doktor. Dilaporkan, unit penyaman udara itu terjatuh dari tingkat 17 selepas seorang pekerja memasangnya pada rangka tingkap tanpa memastikan ia telah dipasang dengan selamat. Pekerja berusia 31 tahun itu dipanggil bagi membantu siasatan polis. -The Straits Times (Singapore)/Asia News Network Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube