MAYAT seorang influencer jutawan ditemui dalam keadaan tragis, di mana anggota badannya dikerat sebelum disumbat ke dalam beg pakaian. Mayat Fernando Pérez Algaba, 39, ditemui dalam beg pakaian berwarna merah yang dibuang di tepi sungai di Ingeniero Budge, Buenos Aires, Argentina, pada 23 Julai lalu, selepas dilaporkan hilang pada 19 Julai. Sekumpulan kanak-kanak dilaporkan menemui beg pakaian itu ketika bermain di tepi sungai dan ibu bapa mereka memaklumkan kepada polis. Identiti Algaba kemudiannya dikenal pasti melalui cap jari dan tatunya. Media tempatan melaporkan, anggota badannya dikerat dengan baik, menunjukkan ia mungkin dilakukan oleh seorang profesional. Apabila polis menggeledah rumah jutawan itu, mereka tidak menemui telefon bimbit atau dompetnya. Sebelum dilaporkan hilang, Algaba memuat naik perkongsian di laman sosial dengan kapsyen yang mempunyai maksud mendalam. "Sungguh luar biasa bagaimana terdapat orang jahat di dunia ini di mana semasa anda berfikir untuk membantu mereka, mereka berfikir untuk memusnahkan anda," demikian kapsyen pada salah satu perkongsiannya. Algaba ketika ini mempunyai 918,000 pengikut di Instagram. Bedah siasat ke atas mayat Algaba menunjukkan dia telah ditembak tiga kali sebelum dikerat dan disumbat ke dalam beg pakaian. -Mirror Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube