SEKURANG-KURANGNYA 30 orang maut dan lebih 90 yang lain cedera apabila sebuah kereta api tergelincir di selatan Pakistan pada Ahad. Menurut pegawai kanan kereta api, Mahmoodur Rehman Lakho, 10 gerabak Hazara Express terbalik dalam nahas berhampiran bandar Nawabshah, Pakistan. Kejadian itu berlaku berhampiran stesen kereta api Sarhari semasa kereta api itu dalam perjalanan dari Karachi ke Rawalpindi. Laporan televisyen tempatan menunjukkan pasukan penyelamat mengeluarkan wanita, kanak-kanak dan penumpang warga emas dari gerabak yang terbalik. Beberapa mangsa yang cedera terbaring di tanah sambil menangis meminta tolong, manakala penduduk tempatan memberikan air dan makanan. Pegawai kanan polis, Abid Baloch berkata operasi menyelamat selesai pada sebelah petang. Sekurang-kurangnya 10 gerabak kereta api terbalik akibat tergelincir daripada landasan. "Berpuluh-puluh orang yang cedera dibawa ke tempat selamat dan gerabak yang terbalik dibersihkan," katanya. Lakho yang bertanggungjawab ke atas landasan kereta api di kawasan kemalangan, berkata kru penyelamat membawa penumpang yang cedera ke sebuah hospital di Nawabshah. Semua kereta api kedua-dua arah dihentikan di stesen terdekat sehingga landasan boleh digunakan, manakala semua pelepasan ditangguhkan. Dalam pada itu, penumpang di stesen Karachi mengadu bahawa mereka menunggu dengan penuh harapan kerana pihak berkuasa kereta api terus mengubah masa berlepas. Menteri Kereta Api, Khwaja Saad Rafiq berkata, siasatan terhadap punca nahas sedang dijalankan. -The Guardian Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube