JUMLAH kematian akibat kebakaran hutan di Maui, Hawaii, Amerika Syarikat pada Sabtu dijangka melebihi 80 mangsa. Pasukan pencari dengan anjing pengesan meneruskan misi mencari mangsa susulan tragedi di Lahaina itu sejak Selasa. Faktor musim panas kering dan angin kencang, sekurang-kurangnya tiga kebakaran hutan berlaku di Lahaina minggu ini. Kos untuk membina semula bandar peranginan bersejarah itu dianggarkan berjumlah AS$5.5 bilion (RM25 bilion), menurut Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA), selepas api yang marak menjilat lebih 1,000 bangunan dan meranapkan hampir keseluruhan bandar. Pegawai menjelaskan bahawa mereka akan meneliti sistem pemberitahuan kecemasan negeri itu selepas beberapa penduduk mempersoalkan sekiranya lebih banyak perkara boleh dilakukan untuk memberi amaran kepada orang ramai sebelum kebakaran menimpa kediaman mereka. Malah, ada yang terpaksa mengharungi Lautan Pasifik untuk melarikan diri. Dikatakan, siren yang ditempatkan di sekitar pulau bertujuan untuk memberi amaran bencana alam akan berlaku tidak pernah dibunyikan. Tiga kebakaran hutan berlaku di Lahaina minggu ini. -Foto Reuters Bekalan elektrik terhad dan gangguan selular menghalang sebarang bentuk amaran yang lain dikeluarkan untuk memberitahu penduduk mengenai amaran bahaya. Angka kematian ini menjadikan kebakaran yang meletus pada Selasa sebagai bencana alam paling buruk dalam sejarah Amerika Syarikat. Bagaimanapun, pihak berkuasa mula membenarkan penduduk kembali ke Maui barat pada Jumaat. Pegawai turut memberi amaran mungkin terdapat asap toksik dari kawasan kebakaran dan berkata operasi mencari diteruskan. Beratus-ratus orang masih hilang, walaupun kiraan yang tepat masih belum dapat dipastikan. Bencana itu bermula sejurus selepas tengah malam Selasa apabila kebakaran dilaporkan di bandar Kula, kira-kira 35 batu (56 km) dari Lahaina. Kira-kira lima jam kemudian, kuasa elektrik terputus di Lahaina. Dalam kemas kini yang disiarkan di Facebook Maui County, kebakaran seluas tiga ekar (1.2 hektar) berlaku di Lahaina sekitar jam 6:30 pagi tetapi telah berjaya dikawal pada jam 10 pagi. Beberapa saksi berkata mereka menerima amaran yang menggambarkan ketakutan apabila api memusnahkan sekeliling bandar dalam masa beberapa minit sahaja. -Reuters Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube