MOMEN romantis sepasang kekasih meluangkan masa bersama di tepi pantai bertukar cemas apabila mereka tidak sengaja merakam seorang budak lelaki yang lemas. Siapa sangka seorang budak lelaki datang meminta pertolongan kerana rakannya dibawa arus ombak. Menerusi video yang tular, seorang wanita bertudung coklat dilihat berbual dan bergambar bersama teman lelakinya. Selepas itu, dua budak tidak berbaju mendekati mereka dan menegur sebelum berlari ke arah laut untuk berenang tanpa ditemani sesiapa. Lokasi kejadian tidak dinyatakan, tetapi dipercayai berlaku di Indonesia. Pada mulanya, pasangan itu menyangka dua budak itu sudah biasa berenang dalam arus ombak yang besar. Tanpa disedari pasangan itu, kedua-dua kanak-kanak terbabit berenang lebih jauh di kawasan lebih dalam. Seorang daripada mereka cuba menjerit meminta tolong kerana rakannya hanyut dibawa arus ombak, namun pasangan itu berkata mereka tidak mendengarnya, manakala pasangannya pula rabun. Walau bagaimanapun, pasangan itu pada mulanya menganggap kanak-kanak itu sekadar bergurau. Namun selepas menyedari keadaan yang mencemaskan, si teman lelaki bergegas untuk menghubungi pengawal pantai kerana tidak biasa berenang. Mujur kanak-kanak itu segera diselamatkan oleh pasukan pengawal pantai. Susulan kejadian itu, wanita berkenaan mengaku trauma melihat kanak-kanak berenang di pantai. - Tribun Medan Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube