KEGEMBIRAAN sekumpulan penduduk bergotong-royong untuk memasang khemah perkahwinan bertukar tragedi apabila lima daripadanya ditimpa kemalangan. Susulan kejadian itu, seorang mangsa meninggal dunia, manakala empat lagi menjalani rawatan di hospital. Kejadian berlaku di Kampung Banggai di Duruka, Muna di Sulawesi Tenggara, Indonesia. Ketua Perhubungan Awam Polis Muna, Ipda Akhmad Amin Harun berkata, kejadian itu berlaku pada Jumaat ketika sekumpulan penduduk memasang khemah untuk majlis perkahwinan. "Mereka pasang khemah menggunakan batang besi yang berdekatan dengan kabel voltan tinggi, menyebabkan lima daripada mereka terkena renjatan elektrik. "Seorang maut dan empat masih dirawat di hospital," katanya menerusi pesanan ringkas, pada Sabtu. Mengulas lanjut, kata Amin, seorang penduduk mengambil paip besi penyambung bumbung khemah untuk memasangnya. "Namun ketika pemasangan khemah dibuat, batang paip besi itu bersentuhan dengan kabel voltan tinggi yang datang dari pencawang elektrik," kata Amin. Menurutnya, kesemua mangsa terjatuh dalam keadaan baring di atas jalan selepas terkena renjatan elektrik. "Seorang mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Dua penduduk masih dirawat kerana keadaan parah, manakala dua lagi cedera ringan," katanya lagi. - Kompas Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube