SIAPA sangka jangka hayat seekor ayam boleh mencecah lebih dua dekad? Begitulah kisahnya untuk ayam betina ini yang digelar sebagai Peanut yang dilahirkan di sebuah ladang di Michigan, Amerika Syarikat. Peanut setakat 28 Januari lalu, disahkan sudah berusia 20 tahun dan 272 hari, menghampiri umur 21 tahun. Pemilik Peanut, Marsi Parker Darwin bagaimanapun berkata, ada kisah menarik di sebalik rekod ini. Menurutnya, 21 tahun lalu, dia bersiap sedia untuk membuang telur yang disangka sudah busuk dan ditinggalkan oleh seekor ayam betina. Katanya, telur itu mahu dibuang ke dalam kandang aligator. Namun, dia terdengar bunyi dari salah satu telur yang mahu dibuang itu. "Saya mendengar bunyi kali kedua, dan menyedari seekor anak ayam itu masih hidup. Ia nampaknya tidak boleh keluar dari selaputnya. "Saya perlahan-lahan mengupas (selaput itu) untuk membolehkan anak ayam itu keluar dari telur kemudian meletakkannya di atas tangan saya," katanya. Anak ayam itu pada mulanya kecil dan tidak pernah membesar melebihi berat 0.5 kilogram (kg), kira-kira satu pertiga daripada saiz ayam lain di ladang, jadi Marsi mengambil keputusan untuk menamakannya sebagai 'Peanut' (kacang). Penduduk Michigan itu tidak pernah membayangkan bahawa anak ayam berbintik coklat itu akan bersamanya dan suaminya selama lebih dua dekad. Mereka meraikan hari lahir Peanut pada bulan Mei dan ayam peliharaannya itu nampaknya masih sihat dan bertenaga. - BOL News Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube