PERANCANGAN keluarga penting untuk memastikan pasangan suami isteri membuat persediaan menimang zuriat. Menjarakkan kelahiran dalam kadar masa yang bersesuaian dapat memastikan setiap anak menerima kasih sayang dan perhatian yang secukupnya. Namun, sepasang suami isteri di Singapura mendapat perhatian ramai apabila dilihat 'pandai' merancang keluarga sepertinya 'tepat' terkena sasaran. Mana tidaknya, mereka mempunyai empat cahaya mata yang masing-masing dilahirkan pada tarikh 6 September tahun 2011, 2013, 2015 dan 2023. Tiga beradik ini menerima ahli keluarga baharu pada tarikh 6 September 2023. Empat adik-beradik itu terdiri daripada tiga perempuan dan seorang lelaki. Bercakap kepada pemberita, Salihin Ahmad Perbah, 49, dan isterinya, Khairunnisa Abdul Karim, 39, berkata mereka sama sekali tidak merancang untuk keempat-empat anak mereka mempunyai tarikh kelahiran yang sama. "Kami sebenarnya dah rancang untuk berhenti ada zuriat lagi selepas kelahiran anak ketiga pada tahun 2015, tapi rezeki dapat seorang lagi. Ada kebaikannya juga apabila birthday anak semua sama. "Antaranya lebih senang untuk ingat tarikh birthday anak dan paling best sambutan ulang tahun kelahiran boleh dibuat serentak, hari dan bulan semua sama kan, duit pun boleh jimat. "Setiap kali 6 September kami beli beberapa kek hari jadi dan tetamu juga akan ramai dijemput, setiap anak dapat sambutan birthday yang khas untuk mereka dan boleh minta hadiah apa yang diingini," kata Salihin. Sambutan ulang tahun kelahiran empat adik-beradik dengan tarikh yang sama. Sementara itu, pakar sakit puan dan perbidanan di Raffles Hospital, Singapura, Dr Jazlan Joosoph berkata adalah sangat unik mempunyai empat anak dengan tarikh kelahiran yang sama. Dr Jazlan Joosoph adalah doktor perubatan yang bertugas ketika kelahiran keempat-empat anak pasangan tersebut. "Sangat luar biasa, lebih-lebih lagi apabila kesemua anak dilahirkan secara normal (natural births) "Tak ramai bidan yang boleh katakan dengan bangganya mereka membantu empat kelahiran bayi dalam satu keluarga yang sama tarikh lahirnya, selalu yang paling banyak pun dua bayi degan tarikh birthday sama. "Saya bersyukur dan gembira atas peluang yang berharga ini," kata Dr Jazlan Joosoph. - The Straits Times Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube