suria

Ikan mentah cincang dihidang bersama rempah ratus, lemon... Doktor kata menu ini jadi punca kanser, boleh bawa maut

Koi pla merupakan hidangan ikan mentah yang berasal dari Thailand.

KOI pla merupakan hidangan ikan mentah cincang yang dikisar dengan herba, rempah ratus dan jus lemon.

Walaupun banyak restoran Thailand tidak menawarkan menu ini, koi pla sangat popular di wilayah Khon Kaen dan Isaan.

Namun, parasit yang wujud dalam menu ini boleh membawa mudarat dan boleh menjadi punca kanser.

Seorang doktor Thailand, Narong Khuntikeo sedang berusaha untuk menghapuskan makanan istimewa itu selepas dia kehilangan ibu bapanya.

Mereka meninggal dunia akibat kanser hati selepas menikmati hidangan popular itu.

"Ini adalah beban kesihatan yang besar di sini. Tetapi tiada siapa yang tahu tentang ini kerana mereka mati secara senyap-senyap, seperti daun yang jatuh dari pokok," ujar pakar hati itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai tak selera nak makan ‘crab stick’ selepas tahu kaedah pembuatannya, minta tukar nama jadi sosej ikan

Malah, dia turut menyifatkan menu itu sebagai pembunuh senyap.

Khuntikeo bekerjasama dengan saintis, doktor dan ahli antropologi untuk menguji penduduk kampung yang sering menikmati menu itu.

Ujian yang dilaksanakan mendapati sebanyak 80 peratus orang yang tinggal di sesetengah komuniti telah menelan parasit yang sangat berbahaya itu.

Kini, doktor sedang sedaya upaya untuk mendidik orang ramai tentang bahaya hidangan koi pla.

Selain itu, pegawai kesihatan tempatan turut berusaha membangunkan kurikulum sekolah untuk mengajar kanak-kanak tentang risiko makanan mentah.

Walaupun ramai yang mula membuka mata, Khuntikeo mengakui sukar untuk pihaknya mendidik generasi yang lebih tua telah bahaya koi pla. - Daily Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain