ORANG tamak selalu rugi. Begitulah gambaran sikap seorang wanita yang bergelar isteri dan ibu kepada seorang cahaya mata perempuan. Mana tidaknya, meskipun menjalani kehidupan mewah dan mempunyai keluarga bahagia, dia yang dikenali sebagai Zhou masih cuba mendapatkan 'wang tambahan' dengan cara menipu. Menerusi perkongsian di halaman Oddity Central, wanita yang baru berusia 35 tahun itu menggunakan kecantikannya untuk memikat lelaki yang kaya sehingga akhirnya 'berkahwin' dengan tiga individu dalam tempoh masa yang sama. Bahkan hubungan tersebut terjalin selama beberapa tahun tanpa ada syak wasangka daripada mana-mana 'suaminya' itu. Dia yang sudah mendaftarkan perkahwinan secara sah bersama suami pertama menjadikan alasan rumah keluarganya telah dirobohkan secara haram dan perlu kekal sebaga 'bujang' untuk layak mendapat pampasan. Meskipun perlu melayani empat lelaki pada masa yang sama, Zhou bijak 'membahagikan' masa tanpa menimbulkan syak wasangka terhadap kesemua suaminya. Dia kemudian berjaya mengadakan majlis perkahwinan dan mengutip wang serta hadiah yang diberikan tetamu. Bukan itu sahaja, dia juga telah mengupah beberapa individu untuk menyamar sebagai ahli keluarga. Pun begitu, rancangannya terbongkar pada tahun lalu selepas dia menipu salah seorang suaminya yang dikenali Zhang tentang kandungan serta anak kembar mereka. "Dia menyuarakan hasrat untuk bersalin dengan ibunya di bandar lain dan meminta Zhang membayar semua perbelanjaan, sementara dia tinggal di rumah untuk bekerja. "Dia sentiasa menghantar gambar hasil pemeriksaan palsu dan juga gambar bayi baru lahir yang dimuat turun dari internet. "Namun masalah timbul ketika Zhang datang untuk melihat bayinya," lapor portal tersebut. Mana tidaknya, 'doktor' yang diupah tidak berjaya menjawab setiap persoalan yang diberikan Zhang sehingga menimbulkan syak wasangka. Zhang akhirnya melakukan siasatan dan mengetahui 'isterinya' itu sudah berkahwin secara sah. Susulan daripada itu, laporan polis dibuat dan Zhou dikenakan hukuman penjara selama 10 tahun kerana menipu. Dia turut diceraikan suaminya pada April lalu selepas 'kehidupannya' terbongkar. Difahamkan, sepanjang tempoh perkahwinan bersama empat lelaki, Zhour berjaya memperoleh 660,000 yuan (RM435,114). Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI