suria

Tebusan Israel tulis surat ucap terima kasih kepada Hamas, anak dilayan umpama puteri

Surat Danielle Aloni dalam bahasa Ibrani (kiri) dan terjemahan Arab (kanan) dikongsi di akaun Telegram rasmi Briged Qassam. -Gambar Telegram

SEORANG tebusan wanita warga Israel menulis sepucuk surat mengucapkan terima kasih kepada pejuang Hamas selepas dia dan anak perempuannya dibebaskan, baru-baru ini.

Danielle Aloni dan anak perempuannya Emilia, 5, telah dijadikan tebusan oleh Hamas selama 49 hari sebelum dibebaskan pada 24 November lalu.

Sebelum mereka meninggalkan Gaza, Danielle menulis surat kepada Hamas untuk mengucapkan terima kasih di atas layanan serta kemanusiaan yang ditunjukkan kepada mereka.

Briged Qassam, yang merupakan sayap bersenjata Hamas, berkongsi surat tersebut di akaun Telegram rasminya pada 27 November.

Surat itu ditulis dalam bahasa Ibrani (Hebrew) dan disertakan dengan terjemahan Arab, bersama dengan gambar Danielle dan anak perempuannya.

Dalam surat tulisan tangannya dalam bahasa Ibrani, Danielle berkata: "Dia (Emilia) mengakui perasaan seperti anda semua adalah kawannya, bukan hanya kawan, tetapi benar-benar disayangi dan baik.

"Terima kasih atas kebanyakan masa yang anda habiskan sebagai penjaga."

Dia seterusnya menyatakan anak perempuannya bukan sahaja mempunyai hubungan yang baik dengan Hamas tetapi juga dilayan seperti seorang puteri.

"Saya akan mengingati kebaikan anda yang ditunjukkan walaupun dalam situasi sukar yang anda hadapi dan kerugian teruk yang anda alami di Gaza."

"Saya harap di dunia ini kita benar-benar boleh menjadi kawan baik," tulis wanita itu lagi.

Danielle dan Emilia Aloni adalah antara 24 tebusan Israel yang dibebaskan oleh Hamas pada 24 November. -Trtworld

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain