suria

Tertekan ditipu kekasih, lelaki ugut terjun kondominium... Campak wang tunai lebih RM13,000 dari balkoni

Jeong mencetuskan kekecohan apabila mengugut untuk terjun dari kondominium dan menabur wang kertas dari balkoni. -Gambar Pattayamail

SEORANG lelaki warga Korea Selatan mencetuskan kekecohan apabila dia mengugut untuk terjun dari tingkat lapan sebuah kondominium dan menabur wang kertas dari balkoni.

Lelaki tersebut dikenali sebagai Seungwon Jeong, 41, ditemui dalam keadaan tertekan di balkoni unit kondominiumnya yang terletak di Soi Bua Khao, Pattaya, Thailand.

Dia menjerit dan mengugut untuk terjun dari bangunan tersebut dan memberi amaran kepada orang lain supaya tidak menghampirinya.

Dia juga melemparkan wang berjumlah lebih 100,000 baht (RM13,336) dari balkoni.

Anggota polis yang bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima maklumat bertindak memujuknya dengan menggunakan khidmat jurubahasa Korea.

Dia akhirnya berjaya diyakinkan untuk membuka pintu dan turun ke tingkat bawah kondominium.

Polis pelancong kemudian mengiringinya ke hospital tempatan untuk pemeriksaan kesihatan.

Difahamkan, Jeong yang berada di Pattaya selama lebih sebulan mengalami tekanan kerana ditipu kekasihnya selepas wanita itu melarikan diri dengan sejumlah wang miliknya. -Pattayamail

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube