suria

Letusan Gunung Merapi... 11 pendaki ditemukan maut, 12 masih hilang

Mangsa letusan gunung berapi yang ditemukan pasukan penyelamat. - Foto Iggoy el Fitra

MAYAT 11 pendaki mangsa letusan Gunung Merapi di Sumatera Barat, Indonesia ditemukan oleh anggota penyelamat, menurut seorang jurucakap pada Isnin.

Pegawai penyelamat melaporkan, tiga lagi pendaki ditemui selamat manakala 12 yang lain masih hilang tetapi operasi mencari dan menyelamat pada Isnin terpaksa dihentikan atas faktor keselamatan.

Gunung Merapi yang juga gunung berapi paling aktif di Pulau Sumatera, meletus petang Ahad menyebabkan abu melitupi daerah Agam di Sumatera Barat.

Pusat Vulkanologi dan Mitigasi Geologi Indonesia (PVMBG) melaporkan, letusan pada pukul 2.54 petang waktu tempatan itu memuntahkan abu hingga bertebaran sejauh tiga kilometer (km) dari kawah puncak.

Peningkatan aktiviti gunung berapi di gunung setinggi setinggi 2,891 meter (9,485 kaki) itu berterusan sejak awal tahun ini dengan status amaran diletakkan pada tahap dua.

Gunung Merapi meletus sejak petang Ahad. -Foto Iggoy el Fitra

Bagaimanapun, jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan Indonesia, Abdul Muhari, berkata tiada kemalangan jiwa ataupun kerugian harta benda dilaporkan, setakat ini.

Tambahnya, aktiviti masyarakat juga tidak terjejas.

Pegawai Agensi Operasi Bencana di Agam, Ade Setiawan pula memaklumkan hujan abu gunung berapi berlaku di Nagari Lasi, mukim Canduang.

"Hujan abu gunung berapi agak tebal dan gelap tetapi kini mulai berhenti," katanya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa tempatan menasihati orang ramai supaya memakai pelitup muka ketika keluar rumah, dan membersihkan bumbung diselaputi abu gunung berapi bagi mengelakkan ia runtuh.

Untuk rekod, Gunung Merapi meletus pada 8 September 1830 dan sekali lagi pada 30 April 1979 yang menyebabkan sekurang-kurang 60 kematian.

Ia turut menunjukkan peningkatan aktiviti dari akhir 2011 hingga awal 2014 sebelum meletus pada 26 Februari 2014. -Reuters

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain