suria

Selepas 22 tahun insiden pengeboman Bali, 2 rakyat Malaysia mengaku bersubahat

Farik (kiri) bersama Nazir dituduh atas kesalahan bersubahat.

SELEPAS kira-kira 18 tahun ditahan di Kem Tahanan Teluk Guantanamo di Cuba, dua rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden pengeboman Bali pada 2002, mengaku bersalah atas pertuduhan bersubahat.

Kedua-dua mereka ditahan sejak 2006 di kem tersebut.

Memetik laporan The New York Times, Mohammed Farik Amin, 48, dan Mohammed Nazir Lep, 47, didakwa pada 2021 iaitu 18 tahun selepas mereka ditahan di Thailand.

Hukuman akan dijatuhkan pada minggu depan.

Kedua-dua defendan ditahan selama bertahun-tahun dalam rangkaian penjara luar negara rahsia Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA).

Pada 2006, mereka dipindahkan ke Teluk Guantanamo untuk menghadapi perbicaraan di mahkamah khas keselamatan negara yang ditubuhkan bekas Presiden AS George W Bush selepas serangan 11 September.

Turut didakwa Encep Nurjaman yang juga dikenali sebagai Hambali dari Indonesia.

Bagaimanapun, pada Oktober lalu New York Times melaporkan Mohammed Farik dan Mohammed Nazir mencapai persetujuan dengan pendakwa raya di Teluk Guantanamo untuk tuduhan menjadi 'aksesori' kepada serangan pengganas di Bali, oleh itu kes berkenaan diasingkan daripada kes Hambali.

Hambali kini menghadapi pertuduhan membunuh, melakukan keganasan dan konspirasi dalam insiden pada 2002 dan 2003 dan jika disabitkan bersalah dia boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Dalam pengakuan mengaku bersalah itu, Mohammed Farik dan Mohammed Nazir bersetuju untuk memberi keterangan terhadap Hambali, bekas pemimpin gerakan Jemaah Islamiyah.

Pada 2018, kedua mereka didakwa dengan sembilan kesalahan yang dikaitkan dengan pengeboman kelab malam di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang dan pengeboman sebuah hotel yang meragut 11 nyawa pada 2003.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain