suria

Kapal angkasa mewah terima hampir 2,000 tempahan, setiap penumpang bayar tiket harga RM600,000... Perjalanan bermula 2025!

Kapal Angkasa Neptune dijangka memulakan perjalanan pada tahun 2025.

SEBUAH kapal angkasa berbentuk seperti belon bakal menjadi tarikan pelancongan terbaharu untuk mereka yang mahu mencuba pengalaman berbeza.

Menurut syarikat pelancongan angkasa Space Perspective, kapal mewah Neptune itu dijangka memulakan perjalanan pertama pada tahun 2025.

Setakat ini, syarikat yang berpangkalan di Florida, Amerika Syarikat itu berkata pihaknya menerima tempahan perjalanan daripada 1,750 penumpang.

Setiap penumpang perlu membayar tiket berharga £100,000 (RM605,038) untuk mengikuti perjalanan bersama kapal Neptune.

"Kapal angkasa Neptune diangkat ke angkasa oleh SpaceBalloon kami, didorong oleh hidrogen, tanpa roket dan tiada jejak karbon.

"Teknologi ini digunakan selama beberapa dekad oleh pasukan kami dalam misi dengan NASA dan agensi kerajaan lain untuk mengangkat teleskop penyelidikan dan instrumen berat dan sensitif," kata syarikat itu lagi.

Mampu memuatkan lapan penumpang, kapal itu juga menyediakan pelbagai kemudahan menarik seperti tingkap panoramik 360 darjah, spa dan bar.

Perjalanan tersebut turut dilengkapi capaian internet bagi memudahkan para penumpang untuk membuat perkongsian kepada yang tersayang.

Syarikat pengendali kapal itu turut merancang untuk menawarkan pakej bermalam, sekali gus menjadikan ia sebagai hotel pertama di angkasa. - Daily Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain