SEORANG wanita dari Kota Bekasi, Jawa Barat, Indonesia, yang disyaki membunuh anaknya sendiri mendakwa perbuatan tersebut dilakukannya selepas mendengar bisikan ghaib. Menurut polis, suspek berusia 25 tahun yang hanya dikenali sebagai NF membuat pengakuan tersebut ketika disoal siasat. "Kami masih menyiasat (motif), namun hasil siasatan awal, suspek mendakwa menerima bisikan ghaib," kata Pengarah Siasatan Jenayah Umum, Wira Satya Triputra. Wira berkata, gara-gara bisikan ghaib itu, suspek menikam anaknya yang berusia lima tahun bertubi-tubi menggunakan pisau dapur. Ketika kejadian, suami suspek tiada di rumah dan dilaporkan berada di Medan. Malah menurut Wira, suspek juga menunjukkan tingkah laku aneh ketika disoal siasat. "Keadaannya stabil tetapi sempat ketawa ketika diambil keterangan," ujarnya. Justeru, ujar Wira, polis juga akan melakukan siasatan mengenai kesihatan mental suspek berkenaan. -Serambinews Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube