suria

Insiden tikaman di Sydney: Pegawai polis wanita tenang ekori penyerang sebelum tembak tepat ke dada

Seorang pegawai polis wanita berjaya menembak mati penyerang pusat beli-belah di Sydney.

KETANGKASAN seorang pegawai polis wanita yang mempertaruhkan nyawanya berdepan dengan penyerang insiden tikaman rambang di pusat beli-belah di Westfield Bondi Junction, Sydney, mengundang pujian ramai.

Menurut saksi kejadian, ketika pengunjung pusat beli-belah sedang bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri, pegawai polis berkenaan bertindak mengekori penyerang dengan tenang.

Dia mengarahkan penyerang tersebut meletakkan pisau di atas lantai namun suspek cuba bertindak balas.

Pegawai polis wanita tersebut pantas bertindak dan menembak suspek dengan satu das tembakan yang mengenai dada.

"Dia melakukannya dengan begitu tenang. Dia sangat mengagumkan," kata Michael Dunkley, pemilik sebuah kafe, kepada media tempatan.

Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki bersenjatakan pisau menyerang pengunjung di sebuah pusat beli-belah di Sydney pada petang Sabtu.

Dalam kejadian sekitar pukul 4.00 petang waktu tempatan itu, enam individu dilaporkan maut dengan beberapa yang lain cedera termasuk seorang bayi berusia sembilan bulan, akibat ditikam secara rambang oleh suspek.

Penyerang bagaimanapun berjaya ditembak mati oleh seorang pegawai polis wanita sejurus selepas kejadian. -Indiatoday

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan