TAKUT dipukul dan dikasari, seorang wanita terencat akal terpaksa akur menjadi pemuas nafsu buas jirannya yang merupakan seorang warga emas berusia 75 tahun. Mangsa yang berusia 27 tahun diperkosa sebanyak dua kali oleh suspek di rumahnya sendiri di Pidie, Acheh, Indonesia. Dalam dua kejadian yang dilaporkan berlaku pada Oktober 2023 dan Disember 2023, suspek memperkosa mangsa ketika dia sedang berseorangan menonton televisyen. Dalam kejadian pertama, nenek mangsa tidak menyedarinya kerana sedang tidur di dalam bilik, manakala kali kedua pula, mangsa sememangnya tinggal berseorangan di rumah. Perbuatan keji suspek terbongkar selepas ibu mangsa curiga melihat kelakuan suspek ketika berkunjung ke rumahnya, di mana suspek berani menyentuh tubuh anak perempuannya itu. Ibu mangsa juga pernah memberitahu isteri suspek agar melarang suaminya itu datang ke rumahnya. Dia kemudian memujuk mangsa yang akhirnya membuka mulut menceritakan kejadian malang yang menimpa dirinya. Keluarga mangsa bertindak membuat laporan polis dan kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Syariah. Setelah melalui beberapa siri perbicaraan, panel hakim yang diketuai Ketua Hakim Dra Nurismi Ishak pada 30 April lalu menjatuhkan hukuman penjara 150 bulan (12 tahun 6 bukan) terhadap suspek. -Serambinews Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube