suria

‘Hadiah’ sebelum berpisah, gadis diperkosa bekas kekasih ibu di ladang sawit

Sejarah hitam yang dialami cenderung membuatkan mangsa rogol berdepan trauma serta tekanan. -Gambar hiasan

MENYAYAT hati apabila seorang gadis berusia 15 tahun menjadi mangsa nafsu serakah lelaki yang didakwa merupakan bekas kekasih ibunya.

Difahamkan, mangsa yang masih menuntut di sebuah sekolah pondok, dipaksa untuk pergi ke ladang kelapa sawit berhampiran kampung mereka di Aceh Tamiang, Aceh, Indonesia.

Sebelum diperkosa, mangsa yang mula berkenalan dengan suspek pada November 2023, memberitahu lelaki berkenaan bahawa dia perlu kembali ke sekolah pondok pada keesokan harinya.

Suspek yang berusia 32 tahun itu kemudian mengajak mangsa untuk melakukan hubungan intim atas alasan 'hadiah' sebelum berjauhan, namun ditolak mangsa.

Disebabkan itu, suspek bertindak memperkosa mangsa secara paksa.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku pada 9 Disember tahun lalu.

Keluarga mangsa bertindak membuat laporan kepada pihak berkuasa dan kes tersebut kemudiannya dibawa ke Mahkamah Syariah Kualasimpang.

Selepas melalui beberapa siri perbicaraan, panel hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Muhammad Reza Fahlepi memutuskan bahawa suspek dibuktikan bersalah melakukan pemerkosaan terhadap mangsa.

Berdasarkan hasil pemeriksaan psikologi terhadap tertuduh, pakar membuat kesimpulan bahawa tertuduh mengetahui mangsa masih di bawah umur dan menyedari dia melakukan jenayah tersebut.

Tertuduh dilaporkan tertarik dengan mangsa kerana kisah silamnya, di mana dia dan ibu mangsa pernah menjalin hubungan, tetapi ia berakhir. -Serambinews

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain