suria

Misteri kematian pemuda terbongkar, rupanya dibunuh! Kubur digali semula selepas 40 hari

Pasukan polis menggali semula kubur mangsa. -Foto Kompas.com/ Muhlis Al Alawi

SEORANG pemuda berusia 36 tahun yang sebelum ini dilaporkan meninggal dunia akibat kemalangan, kini didakwa didera oleh rakannya.

Bagi membongkarkan kes kematian lelaki bernama Jiono, polis menggali semula kubur mangsa pada Selasa lalu.

Kejadian berlaku di Desa Ngumpul, Kecamatan Balong, Kabupaten Ponorogo di Jawa Timur, Indonesia.

Kes bermula apabila keluarga mangsa menerima panggilan daripada rakannya yang memaklumkan Jiono meninggal dunia dalam kemalangan pada 6 April lalu.

Saudara mangsa, Yunus berkata, dia bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan tersebut.

Menurut Yunus, dia melihat Jiono mengalami kecederaan serta mengalami pendarahan di belakang kepalanya.

Yunus turut bertemu lima rakan sekerja Jiono. Namun ketika Yunus meminta lima rakan itu mengangkat mayat Jiono ke dalam kereta, dia curiga dengan kelakuan kelima-lima mereka yang berat hati untuk membantu.

Jiono disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke pusat kesihatan.

Selepas 40 hari, keluarga yang berasa curiga kemudian membuat laporan polis.

"Kubur digali semula kerana pihak keluarga merasakan ada sesuatu yang ganjil. Kata dia mati terjatuh (kemalangan), kenapa motosikalnya tidak ada kesan calar?" kata Yunus.

Polis Kasatreskrim Ponorogo, AKP Ryo Pradana berkata, hasil siasatan mendapati mangsa tidak maut dalam kemalangan sebaliknya didera rakannya.

Dalam kes tersebut, polis mengesan seorang suspek berusia 30 tahun yang merupakan jiran mangsa.

Jelas beliau, kronologi ringkas kejadian itu ialah mangsa dan lima rakan mabuk. Mereka kemudian bertengkar menyebabkan suspek berasa sakit hati.

"Suspek melakukan serangan hingga mengakibatkan kematian, manakala empat individu disyaki bersubahat.

"Mereka kemudian memanipulasi punca kematian mangsa kononnya disebabkan kemalangan," katanya.

Berdasarkan laporan kesihatan, terdapat kesan lebam di bahagian kepala, paha kiri dan dada kanan mangsa.

Kes tersebut masih dalam siasatan polis.

Sebagai peringatan, perbuatan membunuh adalah salah di sisi undang-undang dan dilarang dalam Islam. - Kompas

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain