suria

Nyaris maut selepas dibuang dalam semak, kini dah berusia 10 bulan... Bayi perempuan sihat, ceria bersama keluarga angkat

Bayi perempuan yang ditemui dalam semak pada tahun lalu kini sudah berusia 10 bulan. -Foto BBC

WALAUPUN dunia berkembang kian pesat, masih wujud kepercayaan karut yang diamalkan segelintir masyarakat terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman.

Dalam satu laporan khas saluran BBC, media berkenaan mendedahkan kepercayaan masyarakat di Bihar, India yang tergamak membunuh atau membuang bayi perempuan yang baru dilahirkan.

Bagi sesetengah keluarga, mereka lebih memberi keutamaan kepada anak lelaki kerana anak perempuan dilihat hanya akan memberi bebanan daripada segi kewangan.

Di India dan sesetengah negara, pihak keluarga pengantin perempuan perlu menyediakan hantaran kepada pihak pengantin lelaki apabila anak perempuan mereka berkahwin.

Dalam satu kes, seorang bayi perempuan yang baharu dilahirkan ditemui di dalam semak, dipercayai ditinggalkan oleh ibu bapanya.

Bagaimanapun, si kecil tersebut masih bernyawa ketika ditemui biarpun tubuh badannya sudah dikerumuni semut.

Video penemuan kanak-kanak berkenaan yang dirakam pada September tahun lalu turut dimuat naik di laman Instagram BBC.

Beberapa bulan selepas ditemui, bayi berkenaan diambil sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga Tentera Udara India dari Assam.

Bayi perempuan berkenaan yang diberi nama Edha Dwivedi, kini berusia sepuluh bulan kelihatan sihat dan ceria di samping keluarga angkatnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain