suria

Peluang ziarah keluarga berakhir tragedi, doktor muda maut kemalangan... Ibu derma organ anak supaya terus 'berbakti'

Pendermaan organ dapat membantu menyelamatkan banyak nyawa.

KEHILANGAN insan tersayang pastinya memberi kesan besar kepada sesiapa sahaja.

Begitulah yang dilalui pasangan suami isteri ini apabila anak lelaki yang baru berusia 24 tahun meninggal dunia selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada 4 Ogos lalu.

Lebih menyedihkan apabila, kemalangan yang meragut nyawa seorang pakar bedah muda di Hospital Hongji di China, Luo Sizheng, berlaku ketika dia dalam perjalanan untuk menziarahi kedua-dua orang tuanya.

Susulan itu, ibunya memilih kaedah pendermaan organ bagi membolehkan Luo Sizheng 'menyelamatkan nyawa buat kali terakhir'.

Berkongsi cerita, dia yang ingin dikenali sebagai Ma berkata, anaknya jarang mendapat cuti untuk melawat keluarga.

Namun malangnya, apabila mempunyai peluang, anaknya terlibat dalam kemalangan dan koma sebelum disahkan meninggal dunia.

Walaupun berada dalam kesedihan, Ma dan suaminya mendapat kekuatan untuk mendermakan organ Luo Sizheng.

“Dia berbangga dengan profesionnya dan menganggap dia benar-benar membantu orang ramai. Kami berbangga dengannya, dan sumbangan itu akan menjadi seperti dia menyelamatkan nyawa buat kali terakhir,” kata Ma.

Pada 11 Ogos, Ma dan suaminya menandatangani perjanjian derma, membolehkan pendermaan jantung, hati, buah pinggang dan kornea anak lelaki mereka.

Ia sekali gus membawa harapan kepada lima individu di samping memastikan 'warisan' anak lelaki mereka berterusan menyelamatkan nyawa. - South China Morning Post

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain