SEORANG pemilik kediaman di Beijing, China menerima kritikan hebat di laman sosial selepas dia menghantar notis kepada penyewanya untuk mengosongkan rumah biarpun kontrak sewaan belum berakhir. Tindakan pemilik kediaman bernama Zhang itu adalah disebabkan dia didorong rasa bimbang nilai hartanah tersebut akan menyusut sekiranya berlaku kematian di kediaman berkenaan. Difahamkan Zhang berniat untuk menjual rumahnya selepas kontrak sewaan pasangan penyewanya berakhir November ini. Namun dia baharu mengetahui bahawa isteri kepada penyewanya disahkan menghidap kanser tahap akhir. Menurut Red Star News, pasangan suami isteri tersebut memilih untuk menyewa rumah jenis flat itu kerana lokasinya yang berhampiran hospital. Zhang menggesa pasangan itu keluar dengan kadar segera kerana bimbang rumah tersebut akan dianggap 'rumah berhantu' sekiranya isteri penyewanya meninggal dunia di sana. Selain mengusir penyewanya, Zhang turut meminta mereka menandatangani perjanjian yang menyatakan persetujuan untuk membayar pampasan kepadanya jika nilai pasaran flat itu menurun disebabkan mereka. Pasangan berkenaan bagaimanapun enggan menandatangani perjanjian serta enggan mengosongkan kediaman tersebut sebelum kontrak berakhir pada November, melainkan Zhang memberikan pampasan kepada mereka. Konflik antara kedua-dua pihak berkenaan berterusan sehingga menjadi perdebatan di media sosial Douyin. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube