SEORANG pempengaruh (influencer) media sosial berusia 26 tahun meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat lima pangsapuri mewah miliknya. Menurut laporan media, pempengaruh dikenali sebagai Kubra Aykut ditemukan mati sekitar kawasan pangsapurinya di Istanbul, Turkiye pada 23 September lalu. Difahamkan, pihak polis juga menjumpai nota dipercayai ditulis oleh pempengaruh itu sebelum kematiannya. Memetik laporan Türkiye Today, nota yang ditulis Aykut berbunyi: "Saya terjun atas kehendak sendiri. Saya tidak mahu hidup lagi. Jaga Fistik dengan baik. Saya baik kepada semua orang dalam hidup saya, tetapi saya tidak boleh berbuat baik kepada diri saya sendiri." 'Fistik' dipercayai haiwan peliharaan miliknya. Beberapa hari sebelum kematiannya, Aykut sempat memuat naik hantaran tentang keadaan kesihatannya yang semakin merosot, terutama berkaitan dengan penurunan berat badan yang ketara, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengikutnya. ARTIKEL BERKAITAN : Pempengaruh maut tergelincir ke dalam jurang setinggi 91 meter ketika rakam video "Saya cuba untuk mengumpulkan tenaga, tetapi masih tidak dapat menambah berat badan. Saya kehilangan satu kilogram setiap hari. Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan. Saya sangat perlu menambah berat badan," tulisnya dalam salah satu video terbarunya di TikTok. Susulan itu, pihak polis kini sedang menjalankan sisatan ke atas kematiannya dan mayatnya dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat. Untuk rekod, pada tahun 2023, Aykut menjadi terkenal di TikTok kerana mengadakan majlis perkahwinan mewah sebagai simbolik untuk 'mengahwini' dirinya sendiri, setelah tidak menemukan calon lelaki yang layak. Aykut, yang mempunyai lebih daripada satu juta pengikut di TikTok dan lebih 200,000 pengikut di Instagram, dikenali sebagai content creator malah sering berkongsi tentang kehidupannya di media sosial. Sebagai peringatan kepada pembaca beragama Islam, hukum membunuh diri merupakan salah satu perbuatan dosa besar yang boleh menyebabkan pelaku dicampakkan ke dalam api neraka. Ini berdasarkan dalam sebuah hadis Baginda Rasulullah: Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan disiksa dengan cara seperti itu pula. - [HR Bukhari 6047 dan Muslim 110]. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube