KEKECOHAN yang berlaku boleh menyebabkan suasana kacau-bilau. Begitulah kisahnya apabila seorang anggota polis dipukul oleh penduduk kampung sehingga terjatuh daripada motosikal yang ditungganginya. Difahamkan ketika itu sedang berlangsung aksi kejar mengejar antara pasukan polis dengan mat rempit. Anggota penguatkuasa terlibat mengalami kecederaan pada bahagian bibir, manakala dua giginya patah selepas dipukul dengan batang buluh dalam kejadian di Bantul, Jogjakarta, Indonesia pada minggu lalu. Jurucakap polis tempatan menjelaskan insiden tercetus apabila anggotanya terserempak dengan sekumpulan penunggang motosikal yang mencurigakan, susulan ada antara mereka dilihat membawa senjata tajam. "Kumpulan konvoi motosikal itu kemudiannya melarikan diri ke dalam kawasan desa sambil diekori rapat oleh polis. "Penduduk kampung yang terkejut mendengar bunyi bising motosikal lantas keluar untuk memeriksa. Dalam keadaan kucar-kacir itu, salah seorang daripada penduduk bertindak memukul anggota polis pada bahagian wajahnya. "Pukulan berkenaan menyebabkan anggota terbabit hilang kawalan ke atas motosikal dan terbabas ke dalam sawah padi. Individu yang bertanggungjawab memukul anggota polis itu sudah ditahan oleh pihak berwajib. "Setelah disoal siasat, ternyata ia merupakan kejadian salah faham, penduduk itu menyangka anggota tersebut adalah sebahagian daripada kumpulan mat rempit yang sedang dikejar," ujarnya. - Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube