BERPANTANG maut sebelum ajal. Begitulah kisahnya apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun terselamat selepas disengat kawanan lebah sebanyak 1,100 kali dalam kejadian di Sidrolandia, Brazil pada awal Disember lalu. Difahamkan mangsa diserang lebah ketika menemani bapa tirinya bekerja di sebuah ladang. Bapa mangsa yang dikenali sebagai Celio Samuel berkata kejadian itu merupakan satu keajaiban. "Anak saya sejurus selepas kejadian dikejarkan ke hospital berdekatan, dia kemudian berada dalam keadaan koma hingga 11 Disember. "Saya bersyukur anak saya beransur pulih hari demi hari, secara beransur-ansur doktor perubatan menanggalkan tiub oksigen dan alat sokongan lain," ujarnya. Pakar toksikologi, Sandro Benites berkata mangsa bernasib baik kerana menerima rawatan segera sebelum berlaku kecederaan atau kerosakan tisu yang lebih teruk pada tubuhnya.. "Untuk makluman, lebih 100 sengatan boleh membawa maut kepada kanak-kanak, manakala 500 sengatan boleh membawa maut kepada orang dewasa. "Bagaimana mangsa boleh terselamat, itu masih menjadi satu misteri," ujarnya. -Agensi Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube