suria

Peguam mati ditembak ketika hadiri jamuan tahun baharu di rumah keluarga isteri

Mangsa maut selepas terkena tembakan pada wajah. -Foto Istimewa/Detik

SEORANG peguam maut ditembak ketika menghadiri majlis jamuan makan sempena sambutan tahun baharu yang diadakan di rumah keluarga isterinya.

Kejadian dilaporkan berlaku di Bone, Sulawesi Selatan, pada malam Selasa, lapor Detik.

Ketika kejadian, mangsa yang berusia 49 tahun itu sedang menikmati makanan sebelum satu das tembakan mengenai wajahnya, menyebabkan dia rebah.

"Selepas hanya beberapa suapan makanan, dia tiba-tiba ditembak dari luar rumah. Kami tidak sempat melihat pelakunya," kata anak tiri mangsa sambal menambah kejadian berlaku begitu pantas.

Sementara itu menerusi kenyataan polis, mangsa maut selepas terkena satu das tembakan pada bahagian wajah.

"Mangsa yang dikejarkan ke klinik berhampiran bagaimanapun menghembuskan nafas terakhir di pusat kesihatan tersebut.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut terhadap kes ini," demikian menurut Ketua Perhubungan Awam Polis Bone, Inspektor Rayendra.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain