suria

Tertekan kerap didesak tukar kolej, pelajar kejuruteraan nekad bunuh ibu bapa

Suspek (kiri) mencekik ibu dan kemudian menikam bapanya. -Foto Indiatoday

SEORANG pelajar kejuruteraan berusia 25 tahun didakwa membunuh ibu bapanya gara-gara tertekan selepas diminta menukar kolej pengajian.

Insiden tragis itu berlaku pada 26 Disember lalu di Nagpur, India, namun hanya terbongkar pada Rabu selepas mayat kedua-dua mangsa ditemukan di dalam rumah mereka, lapor Indiatoday.

Menurut polis, berdasarkan hasil siasatan, suspek melakukan jenayah berkenaan susulan tekanan daripada ibu bapanya yang mendesak untuk menukar kolej selepas beberapa kali gagal dalam peperiksaan.

"Oleh itu, ibu bapanya mahu dia berhenti dalam bidang kejuruteraan dan memilih sesuatu yang lain. Bagaimanapun, suspek menentang cadangan mereka," ujar Timbalan Pesuruhjaya Polis (Zon 5) Niketan Kadam.

Tambahnya, suspek bertindak mencekik ibunya dan kemudian menikam bapanya.

Suspek kemudian menghantar adiknya yang tidak menyedari kejadian berkenaan ke rumah saudaranya, dengan alas an ibu bapa mereka sedang menyertai kursus beberapa hari.

Kejadian terbongkar apabila pihak polis menerima panggilan berhubung bau busuk yang datang daripada rumah mangsa, sebelum siasatan di lokasi kejadian menemukan mayat mereka.

Suspek kini sudah ditangkap dan siasatan lanjut terhadap kes itu sedang dijalankan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain