suria

Roket Starship milik Elon Musk meletup, ganggu laluan penerbangan

Roket Starship selepas pelancaran dari Pulau South Padre berhampiran Brownsville, Texas, Amerika Syarikat pada 16 Januari 2025. -foto REUTERS

ROKET SpaceX Starship mengalami kerosakan beberapa minit selepas dilancarkan dari Texas pada Khamis, memaksa penerbangan di atas Teluk Mexico mengubah laluan bagi mengelak terkena serpihan.

Kawalan misi SpaceX kehilangan hubungan dengan roket itu lapan minit selepas pelancaran, dan anomali pada tahap atas menyebabkan roket pecah.

Ini adalah kegagalan ujian kedua selepas tahap atas Starship gagal tahun lalu.

Rakaman video yang diambil oleh Reuters menunjukkan bola cahaya oren melintasi langit di atas ibu kota Haiti, Port-au-Prince, meninggalkan jejak asap di belakangnya.

"Kami kehilangan semua komunikasi dengan kapal itu - ini secara asasnya memberitahu kami bahawa terdapat anomali dengan tahap atas roket," kata Pengurus Komunikasi SpaceX, Dan Huot, sambil mengesahkan bahawa beberapa minit kemudian kapal itu hilang.

Kali terakhir tahap atas Starship gagal adalah pada Mac tahun lalu, ketika ia memasuki semula atmosfera di atas Lautan Hindi, namun kejadian SpaceX yang mengganggu lalu lintas udara jarang berlaku.

Berpuluh-puluh penerbangan komersial telah dialihkan ke lapangan terbang lain atau mengubah laluan untuk mengelakkan serpihan, menurut laman web penjejakan penerbangan FlightRadar24.

CEO SpaceX, Musk, memuat naik video di X yang menunjukkan kawasan serpihan dan berkata: "Kejayaan tidak pasti, tetapi hiburan dijamin!"

Kegagalan ini berlaku sehari selepas Blue Origin, syarikat angkasa milik bilionaire Pengasas Amazon, Jeff Bezos, berjaya melancarkan roket besar New Glenn ke orbit buat pertama kali.

Musk berkata, penilaian awal terhadap kegagalan menunjukkan kebocoran dalaman bahan bakar oksigen cecair yang menyebabkan tekanan terbentuk dan menyebabkan roket tersebut pecah.

"Setakat ini, tiada yang menunjukkan bahawa pelancaran seterusnya akan ditangguhkan melepasi bulan depan," kata Musk

Ujian pertama Starship dijalankan pada April 2023 menyaksikan keseluruhan sistem roket meletup selepas beberapa minit berlepas.

Pada November, ujian kedua dilakukan tetapi dua peringkat roket itu terpisah dengan bahagian atas terus dilancarkan namun kedua-duanya meletup secara berasingan.

Pada Mac 2024, dalam ujian ketiga, roket tanpa pemandu itu berjaya berlepas ke angkasa tetapi musnah ketika kembali ke Bumi.

Pada Jun 2024, ujian keempat dijalankan dan Starship mendarat dengan terkawal buat pertama kali tetapi masih timbul masalah.

SpaceX berjaya melancarkan roket tanpa pemandu Starship dalam ujian penerbangan kelima pada Oktober 2024.

Ujian keenam dilakukan pada November 2024 dan berjaya mengaktifkan satu daripada enjin Raptornya semasa berada di angkasa buat kali pertama.- Agensi

Artikel Lain