KABINET Israel meluluskan perjanjian gencatan senjata dengan pejuang Palestin, Hamas, yang akan berkuat kuasa pada Ahad.
Keputusan itu dibuat pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu selepas lebih 460 hari konflik yang mengakibatkan lebih 46,788 rakyat Palestin terkorban dan 110,453 cedera.
Kerajaan Israel mengesahkan perjanjian tersebut pada awal pagi Sabtu selepas mesyuarat selama lebih enam jam.
"Kerajaan telah meluluskan kerangka untuk pemulangan tebusan. Kerangka pembebasan tebusan akan berkuat kuasa pada Ahad," menurut kenyataan tersebut.
Walaupun perjanjian ini ditentang oleh beberapa anggota kabinet, media melaporkan bahawa 24 menteri dalam kerajaan gabungan Netanyahu mengundi menyokong perjanjian tersebut.
Kabinet keselamatan Israel telah mengundi menyokong perjanjian gencatan senjata itu pada Jumaat.
Di bawah perjanjian ini, gencatan senjata akan bermula dengan fasa awal selama enam minggu di mana tebusan di Gaza akan dibebaskan sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin di penjara Israel, membuka jalan untuk menamatkan perang yang telah berlarutan selama 15 bulan.
ARTIKEL BERKAITAN: Gencatan senjata di Gaza dipersetujui, akhiri perang 15 bulan
Ketua perunding Amerika Syarikat dalam rundingan gencatan senjata, Brett McGurk, menyatakan bahawa White House menjangkakan gencatan senjata akan bermula dengan tiga tebusan wanita dibebaskan kepada Israel pada petang Ahad melalui Red Cross.
Dalam pada itu, Kementerian Kehakiman Israel pada Jumaat mengeluarkan senarai 95 tahanan Palestin yang akan dibebaskan dalam pertukaran pertama pada Ahad.
Selepas pembebasan tebusan pada Ahad, McGurk menyatakan perjanjian tersebut menyeru pembebasan empat lagi tebusan wanita selepas tujuh hari, diikuti dengan pembebasan tiga tebusan lagi setiap tujuh hari berikutnya.
Walaupun perjanjian gencatan senjata diumumkan pada Rabu oleh perantara Qatar, Mesir, dan Amerika Syarikat tetapi serangan Israel ke atas Gaza terus berlaku dengan hampir 120 orang terbunuh di wilayah Palestin.
Dalam pada itu, Gaza yang dilanda perang juga dijangka menerima peningkatan bantuan kemanusiaan.
Selain itu, trak-trak yang membawa bantuan berbaris pada Jumaat di sisi sempadan Rafah di Mesir untuk memasuki selatan Gaza.
Pasukan Israel juga akan berundur dari banyak kawasan di Gaza semasa fasa pertama gencatan senjata, membolehkan ratusan ribu rakyat Palestin kembali ke 'sisa-sisa' rumah mereka di utara wilayah tersebut. -Agensi