suria

Remaja maut terkena kipas bot selepas dicampak bapa ke dalam laut

Seorang lelaki Rusia ditahan kerana mencampak anak lelakinya ke dalam laut, mengakibatkan mangsa meninggal dunia kerana terkena kipas bot. -Foto Bangkok Post

SEORANG lelaki ditahan selepas didakwa mencampakkan anaknya yang berusia 13 tahun ke dalam laut, mengakibatkan remaja berkenaan maut kerana mengalami kecederaan serius pada muka dan kepala akibat terkena kipas bot.

Dalam kejadian pada petang Rabu lalu, suspek dikenali sebagai Artem Bugorskiy, 45, dari Rusia, dan anaknya, Lucas Bugorskiy, 13, sedang menaiki bot persiaran bersama beberapa pelancong dan kru.

Memetik laporan Bangkok Post, bot tersebut dari Mu Ko Surin dan dalam perjalanan ke jeti Khura Buri dengan membawa 33 pelancong iaitu 17 warga Thailand dan 16 warga asing, beserta lima kru.

Apabila bot menghampiri Mu Ko Ra–Ko Phra Thong, suspek dilihat meninggalkan tempat duduknya, merentap dan mencampak anaknya ke laut sebelum dia melompat keluar dari bot.

Suspek dikatakan menolak untuk dibantu walaupun cuba diselamatkan kru dan penumpang lain.

Anaknya yang berjaya diselamatkan kru bagaimanapun mengalami kecederaan serius pada muka dan kepala akibat terkena kipas bot.

Mangsa yang berdarah campuran Thai-Rusia dihantar ke Hospital Kuraburi Chaipat, namun meninggal dunia tidak lama kemudian akibat kecederaannya.

Suspek ditahan oleh kru bot sebelum diserahkan kepada polis.

Suspek yang didakwa membunuh dengan niat, bagaimanapun menafikan tuduhan tersebut.

Artikel Lain