SEORANG pekerja pembersihan bangunan maut selepas terkena renjatan elektrik ketika membersihkan bahagian luar sebuah bangunan komersial lima tingkat.
Menurut polis, mangsa merupakan seorang lelaki warga Myanmar berusia 32 tahun yang dikenali sebagai Nim.
Dalam kejadian yang berlaku di daerah Bang Kho Laem, Bangkok, pada tengah hari Sabtu, mangsa bersama tiga rakan sekerja ditugaskan untuk membersihkan dinding bangunan tersebut.
Salah seorang rakan mangsa, Pan berkata, dia terdengar satu letupan kuat sebelum mendongak dan melihat Nim terkena renjatan elektrik lalu terjatuh.
Ujarnya, walaupun dia cuba melakukan bantuan pernafasan dan segera menghubungi ambulans, mangsa disahkan meninggal dunia sebaik sahaja bantuan perubatan tiba di tempat kejadian, lapor portal berita KhaoSod.
Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan melecur pada kaki kanannya.
Polis percaya ketika mangsa sedang turun dari bangunan, dia mungkin tidak sengaja menyentuh talian elektrik 20,000 volt yang berada berdekatan, menyebabkannya terkena renjatan elektrik.