DUA suspek diburu polis kerana menyerang seorang doktor lelaki sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal di luar sebuah klinik kecantikan.
Mangsa berusia 37 tahun dikenali sebagai Chanesd Srisukho itu membuat laporan di Balai Polis Tung Mahamek sejurus selepas insiden yang berlaku sekitar pukul 7.36 pagi.
Dalam kejadian di Silom, Bangkok, Thailand itu, dua suspek yang dianggarkan berusia 30 dan 40 tahun menghampiri doktor terbabit ketika mangsa keluar dari klinik.
Suspek tiba di tempat kejadian dengan menunggang motosikal jenis Honda PCX.
Menurut mangsa, suspek menggunakan topi keledar dan penumbuk sebagai senjata untuk mencederakannya.
Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mangsa dilihat cuba menyelamatkan diri dengan menaiki sebuah kereta, dipercayai tempahan e-hailing yang dibuatnya.
Namun pemandu e-hailing yang terkejut melihat insiden serangan berkenaan bertindak meninggalkan mangsa di tempat kejadian.
Wajah suspek dapat dikenal pasti susulan kedua-dua mereka tidak memakai pelitup muka.
Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki motosikal.
Mangsa yang wajahnya berlumuran darah akibat serangan terbabit berkata insiden itu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kejayaan dia dalam industri kecantikan.
Susulan itu difahamkan bekas rakan perniagaannya yang meninggalkan syarikat baru-baru ini turut menjadi fokus siasatan. -Agensi