suria

Doktor tertinggal 2 kain kasa dalam skrotum masa pembedahan, pesakit sedar 2 bulan kemudian lepas cucuk sendiri kerandut

Seorang pesakit menanggung derita selepas pembedahan. -Gambar hiasan

SEORANG pesakit menemukan kain kasa (pembalut luka) berukuran 18.5cm (sentimeter) dalam skrotumnya (kerandut zakar), selepas menjalani pembedahan di sebuah hospital awam.

Pesakit tersebut menyedari kejadian itu hanya dua bulan selepas pembedahan membuang bahagian kiri testisnya.

Kejadian itu berlaku terhadap seorang pesakit di Hong Kong.

Semasa prosedur dilakukan, kain kasa reben disumbat masuk ke dalam skrotum yang luka dan ditutup (ditampal) dengan kain kasa parafin di sebelah kiri.

Seorang pakar bedah kemudian bertindak menggantikan kain kasa reben selepas pesakit mengadu kesakitan.

Bagaimanapun kasa parafin tidak diganti dan berada di dalam skrotum kiri, meskipun dalam rekod dinyatakan bahawa semua pembalut luka sudah dibuang dan kasa reben telah diganti.

Seorang jururawat di bilik pemulihan membuat pengesahan dengan pakar bedah dan menulis dalam rekod kejururawatan bahawa satu kasa parafin masih berada dalam bahagian luka.

Namun ketika rawatan harian dilakukan, jururawat di wad hanya menggantikan kasa reben dan tidak menyedari bahawa kasa parafin masih tertinggal.

Pesakit hanya menyedari kain kasa tertinggal di dalam kerandut kiri selepas menjalani dua imbasan ultrabunyi di dua hospital awam berbeza.

Namun, pasukan urologi di kedua-dua hospital memutuskan untuk tidak 'mengganggu' luka tersebut dan hanya mengesyorkan untuk membuat pemeriksaan susulan.

Dua bulan selepas pembedahan, pesakit menyedari terdapat lelehan keluar dari skrotumnya.

Dia kemudian bertindak sendiri dengan mencucuk kawasan tersebut dan menemui objek berwarna putih dalam luka.

Hasilnya, dua keping kasa parafin berukuran 6cm dan 18.5cm ditemui. -Agensi

Artikel Lain