suria

Pesawat bawa 169 penumpang, 6 anak kapal terbakar

Pesawat milik Air Busan terbakar pada Selasa. -Foto Yonhap

SEBUAH pesawat dilaporkan terbakar apabila api tiba-tiba muncul di bahagian ekor, dalam kejadian di Lapangan Antarabangsa Gimhae, Busan, Korea Selatan pada Selasa.

Insiden berlaku ketika pesawat Airbus A321-200 milik Air Busan itu sedang bersiap untuk berlepas menuju ke Hong Kong pada pukul 10.26 malam (waktu tempatan).

Sebaik sahaja kebakaran dikesan, kru penerbangan bertindak pantas dengan mengaktifkan prosedur pemindahan kecemasan.

Semua 169 penumpang bersama enam anak kapal serta seorang pekerja penyelenggaraan berjaya keluar dari pesawat menggunakan gelongsor kecemasan.

Walaupun kebanyakan penumpang selamat tanpa kecederaan serius, dilaporkan tiga individu cedera ringan semasa proses evakuasi.

Mangsa segera diberikan rawatan di tempat kejadian sebelum dihantar ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan lanjut.

Setakat ini, pihak berkuasa penerbangan Korea Selatan masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca kebakaran.

Selain itu, beberapa penumpang yang ditemu bual dalam laporan berita tempatan berkata kebakaran mungkin bermula dari ruang penyimpanan bagasi di bahagian belakang pesawat.

Menurut sistem maklumat teknikal penerbangan Kementerian Pengangkutan Korea Selatan, pesawat Air Busan ini telah beroperasi selama lebih 17 tahun dan tidak mempunyai sejarah kemalangan selama 12 tahun terakhir. -Korea Herald

Artikel Lain