SEORANG penjawat awam berpangkat pengarah ditahan pada Sabtu selepas merakam dua pegawai polis menggunakan tandas bagi tujuan berkongsi di media sosial.
Polis dimaklumkan tentang lelaki berkenaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di dalam tandas sebuah stesen minyak.
Suspek didapati merakam pengguna tandas termasuk dua pegawai polis tersebut menggunakan telefon pintar.
Ketika diperiksa, kedua-dua polis itu menemui banyak rakaman video dan gambar orang menggunakan tandas termasuklah diri mereka.
Pemeriksaan ke atas kereta suspek pula menemui buku nota mengandungi senarai ahli, sebuah komputer riba dan sebuah beg tangan hitam yang mengandungi bukti-bukti lain.
Kejadian berlaku di Khon Kaen, Thailand.
Menurut Ketua Balai Polis Nam Phong, Pol Kol Chumphon Buachum suspek merupakan pengarah di Organisasi Pentadbiran Tambon di Udon Thani.
Siasatan lanjut mendapati lelaki itu juga mengedarkan video-video tersebut di X, serta mengajak orang ramai menyertai kumpulan dalam talian rahsia di media social dengan bayaran sekitar RM25.
Pol Kol Chumphon berkata suspek mengaku merakam orang sedang membuang air kecil secara sengaja dan mengedarkan video-video tersebut dalam talian untuk mendapatkan wang selama lebih setahun.
Suspek kini berdepan tuduhan memasukkan kandungan lucah ke dalam sistem komputer serta menghasilkan dan mengedarkan bahan lucah untuk tujuan komersial.-Agensi