SEPASANG suami isteri warga emas rentung apabila rumah mereka hangus dijilat api dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi Sabtu.
Menurut polis, kedua-dua mangsa masing-masing berusia 96 tahun dan 86 tahun.
Memetik laporan Indiatoday, kebakaran yang berlaku sekitar pukul 3.30 pagi itu disedari seorang pemandu beca, yang segera memaklumkan penduduk kampung dan kemudian bertindak menghubungi pihak polis serta bomba.
Pihak berkuasa berjaya memadamkan kebakaran, namun rumah pasangan tersebut yang terletak di daerah Alappuzha, Kerala, India, musnah sepenuhnya.
Apabila operasi pemadaman selesai, mayat pasangan warga emas itu ditemui dalam keadaan rentung.
Polis mengesahkan telah menahan anak lelaki pasangan tersebut, yang disyaki terlibat dalam kejadian kebakaran berkenaan.
Penahanan tersebut susulan maklumat daripada sumber yang memaklumkan suspek dan ibu bapanya kerap kali bertengkar mengenai isu harta.
Setakat ini, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengesahkan punca kebakaran dan penglibatan suspek dalam kejadian tragis berkenaan.