SEBUAH pesawat perubatan yang membawa seorang pesakit kanak-kanak dan lima anak kapal terhempas di kawasan kejiranan sekitar Philadelphia, Amerika Syarikat pada Jumaat.
Menerusi rakaman video tular, kelihatan pesawat terbabit terhempas sehingga menghasilkan letupan serta api marak yang menjilat beberapa buah rumah.
Pengendali syarikat ambulans udara berkata seorang doktor pediatrik dan empat anak kapal turut mengiringi pesakit ketika nahas berlaku.
"Setakat ini kami belum menemukan sesiapa yang terselamat," ujarnya.
Pesawat ambulans udara jenis Learjet 55 itu dilaporkan hilang daripada radar sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Northeast Philadelphia pada pukul 6.06 petang (waktu tempatan) menuju ke Lapangan Terbang Springfield-Branson di Missouri.
Pesawat terbabit hilang isyarat ketika mencecah ketinggian 1.600 kaki atau 487 meter.
Operasi mencari dan menyelamat juga sedang dijalankan untuk mengesan penduduk kawasan perumahan yang telibat nahas di atas darat.
Seorang penduduk dikenali sebagai Jim Quinn berkata dia mendengar bunyi letupan yang kuat ketika kejadian.
"Kami mendengar satu dentuman yang menggegarkan tanah, kami tak pasti ia datang dari arah mana. Kemudian kami nampak kepulan asap dari kejauhan," ujarnya. -Agensi