SEORANG penumpang mencetuskan kekecohan apabila mengacukan pistol di dalam pesawat.
Malah, suspek turut mengugut untuk membunuh sesiapa yang berada di dalam kapal terbang.
Dilaporkan, insiden tersebut berlaku sejurus sebuah pesawat berlepas.
Sekumpulan pramugari bertindak berani apabila berjaya menundukkan lelaki bersenjata itu, dan mengelakkan sebarang kecederaan berlaku.
Susulan gangguan itu, juruterbang melakukan penerbangan kembali ke lapangan terbang tempat ia berlepas iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Toncontin di Tegucipalpa, ibu negara Honduras.
Pesawat itu sepatutnya berlepas ke Roatatan, Honduras pada Khamis.
Polis kemudian mengadakan serbuan sebaik pesawat tiba di lapangan terbang dengan menahan suspek, tanpa sebarang kemalangan jiwa.
Memetik laporan Mirror, penumpang pesawat berkenaan menaiki penerbangan lain untuk ke destinasi.
Bagaimanapun, timbul tanda tanya bagaimana suspek berkenaan dapat menyeludup pistol ke dalam pesawat
Insiden tersebut masih dalam siasatan oleh pihak berkuasa. -Agensi