suria

Ajal ketika memancing... Lelaki ditembak dua lelaki bermotosikal, lemas selepas jatuh dalam terusan

Polis dan petugas perubatan berada di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan. -Foto KhaoSod

SEORANG lelaki berusia 31 tahun maut ditembak ketika sedang memancing bersama rakan-rakannya di luar sebuah rumah, dalam kejadian yang berlaku awal pagi Ahad (23 Februari).

Sebelum kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Ball dan rakan-rakannya dihampiri dua lelaki bersenjata yang menaiki motosikal, kata polis.

Selepas bertanyakan nama, dua lelaki bersenjata itu melepaskan tembakan yang mengenai dada mangsa, menyebabkannya terjatuh dalam terusan dan lemas.

Penyerang kemudiannya kembali dan melepaskan tiga lagi das tembakan ke arah rumah yang menjadi lokasi rakan-rakan mangsa bersembunyi, sebelum melarikan diri.

Insiden berlaku sekitar pukul 3.00 pagi di wilayah Ang Thong, Thailand. 

Pasukan penyelamat menemui mayat mangsa di dalam terusan selepas 10 minit pencarian dilakukan.

Salah seorang rakan mangsa berkata, dia percaya kejadian berkenaan ada kaitan dengan konflik yang tercetus antara mangsa dan suspek.

Polis telah mengenal pasti suspek yang terlibat dengan kejadian berkenaan dan kini sedang giat memburu kedua-duanya. -Agensi 

Artikel Lain