KETIKA berada dalam keadaan marah, sesetengah individu mungkin boleh bertindak di luar batas akal yang waras.
Khamis lalu, seorang penghantar makanan menikam pengawal keselamatan universiti hingga maut gara-gara pertengkaran mengenai pesanan yang dibatalkan.
Menurut laporan, pelaku berang apabila mendapati pesanan makanan sudah dibatalkan ketika dia tiba di lokasi penghantaran.
Ketika ditanya, mangsa, Piangjai Khiao Nil memaklumkan tiada sesiapa yang membuat tempahan makanan di lokasi itu.
Dalam keadaan marah, penghantar makanan itu mengeluarkan pisau lalu menikam perut mangsa yang berusia 49 tahun.
ARTIKEL BERKAITAN: Bangga anak kerja luar negara, makcik perlekeh ‘rider’ tiada pelajaran - “Tapi saya jumpa mak setiap hari”
Pasukan sukarelawan cuba memberi bantuan awal namun gagal menyelamatkan mangsa.
Sehingga kini, belum dapat dipastikan sekiranya mangsa atau ada individu lain yang membuat dan membatalkan pesanan makanan berkenaan.
Seorang rakan sekerja mangsa meluahkan rasa tidak percaya terhadap tragedi itu, apatah lagi mangsa digambarkan sebagai seorang yang baik.
"Saya sampai dengan motosikal dan melihat dia terbaring dalam lopak darah, tidak sedarkan diri. Saya tak pernah rasa setakut ini.
"Kami selalu menerima penghantaran makanan di sini, tetapi kejadian seperti ini tidak pernah berlaku," ujar individu itu.
Untuk rekod, mangsa bekerja di sebuah kampus di kawasan Phatthanakan 37, Bangkok, Thailand. - Agensi