suria

Mulut ada kesan lendir, sisa muntah... Pasangan suami isteri ditemukan maut dalam kereta diparkir tepi jalan

Lazimnya proses bedah siasat dilakukan bagi menentukan punca kematian. -Gambar hiasan

SEPASANG suami isteri ditemukan tidak bernyawa dalam kereta yang diparkir di tepi jalan, disyaki maut akibat keracunan.

Menurut polis, kejadian disedari oleh penduduk setempat yang curiga selepas melihat sebuah kenderaan yang diparkir lama dengan keadaan lampu terbuka berhampiran Lebuh Raya Jogja-Magelang, Jawa, Indonesia.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Magelang, AKP La Ode Arwansyah berkata, menurut saksi, kereta berkenaan diparkir dari pukul 6.00 petang hingga 11.00 malam. 

Ujarnya, penduduk setempat pada mulanya menyangka kereta itu milik pelanggan sebuah kedai makan namun bertindak membuka pintu kenderaan sebelum menemukan jasad pasangan berkenaan. 

"Apabila polis tiba di lokasi, hasil siasatan mendapati terdapat lendir di mulut mangsa lelaki, yang disangka muntah. 

"Mangsa wanita pula pada mulutnya terdapat sisa bekas muntah," ujarnya sambil menambah, mangsa sedang hamil dengan usia kandungan dianggarkan sekitar tujuh bulan.

La Ode berkata, polis mengambil sampel muntah mangsa untuk diuji di makmal forensik bagi menentukan punca sebenar kematian.

Menurutnya lagi, keluarga mangsa enggan membenarkan bedah siasat dilakukan, dan kedua-dua jenazah dikebumikan pada pukul 1.30 tengah hari (waktu tempatan) pada Sabtu. -Agensi

Artikel Lain