suria

Majlis hari jadi bertukar tragedi, gadis melecur akibat belon meletup

Belon yang dipegang Giang tiba-tiba terbakar dan api menyambar mukanya. Foto Giang Pham

SAMBUTAN hari ulang tahun seorang gadis bertukar tragedi apabila wajahnya melecur selepas belon yang dipegangnya meletup ketika dirakam bersama kek hari jadi.

Menerusi satu hantaran di laman sosial, gadis bernama Giang memaklumkan dia mengadakan majlis hari jadi di sebuah restoran pada 14 Februari lalu.

Ruang parti itu dihiasi dengan banyak belon. Untuk menjadikannya lebih meriah, dia membeli banyak belon dan memegang beberapa biji di tangannya.

Kejadian dipercayai berlaku di Hanoi, Vietnam.

Ketika kejadian berlaku, Giang sedang memegang kek hari jadi dengan lilin bernyala, menggunakan sebelah tangannya. Manakala sebelah tangannya memegang beberapa biji belon.

Dia berdiri di pentas, untuk rakan-rakannya mengambil gambar dan video sebagai kenangan.

Dia bagaimanapun leka, membiarkan belon itu bersentuhan dengan lilin yang menyala pada kek hari jadi, sebelum sebiji belon besar tiba-tiba meletup dan api menyambar mukanya.

Keadaan itu membuatkan dia membuang kek hari jadi dan belon serta-merta, menutup mukanya dan berlari ke bilik air.

Keadaan Giang susulan kejadian yang berlaku. Foto Giang Pham

Giang kemudian dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Walaupun kejadian itu sudah lebih seminggu berlaku, dia baru berkongsi kisah tragis itu, pada Khamis.

"Kejadian itu sangat menakutkan. Apabila saya mendapat tahu bahawa saya mempunyai kesan melecur di muka, saya sangat keliru.

"Saya menangis sepanjang hari kerana saya tidak tahu bagaimana kehidupan dan pekerjaan saya selepas melecur di muka saya seperti itu.

"Mujur saya mengalami luka lecur tahap pertama dan kedua serta dirawat sebagai pesakit luar. Doktor beritahu parut saya tidak akan kekal dan akan hilang selepas sembuh sepenuhnya.

"Namun, ia akan mengambil masa berbulan-bulan untuk kulit saya kembali pulih," katanya.

Giang berkata, belon yang digunakan pada majlis hari jadinya itu mengandungi gas hidrogen, yang mudah terbakar. -Agensi

Artikel Lain