SEORANG penagih dadah membunuh anak saudaranya yang berusia dua tahun dengan menghentak kanak-kanak itu ke tanah pada Isnin.
Polis bergegas ke rumah yang terletak di wilayah selatan Satun, Thailand itu selepas menerima panggilan daripada seorang ahli keluarga mangsa.
Menurut ahli keluarga itu, dia terdengar dua dentuman kuat dan segera keluar untuk melihat apa yang berlaku.
Dia terkejut apabila melihat kanak-kanak itu terbaring tidak sedarkan diri di luar rumah.
Malangnya, mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Suspek pembunuhan itu merupakan bapa saudara mangsa, Abdulaziz Yawahab yang berusia 35 tahun.
Dia ditahan oleh polis di tempat kejadian dalam keadaan masih di bawah pengaruh dadah.
Abdulaziz dilaporkan bercakap seorang diri dan mengakui telah menghentak budak itu ke tanah sebanyak dua kali.
Abdulaziz didakwa di bawah Seksyen 290 Kanun Jenayah atas kesalahan menyerang sehingga menyebabkan kematian.
Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara antara tiga hingga 15 tahun. - Agensi.