suria

Seramai 1,096 orang maut akibat penyakit misteri... Mangsa alami gejala seperti demam, menggigil dan cirit-birit

Lebih seribu orang maut akibat penyakit misteri di Congo. -Gambar hiasan

PUSAT Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat sedang memantau satu penyakit misteri yang sedang merebak di Republik Demokratik Congo.

Sekurang-kurangnya 1,096 orang dijangkiti dan 60 kematian direkodkan akibat penyakit itu, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ini merupakan kali ketiga dalam beberapa bulan kebelakangan ini pihak berkuasa mengesan peningkatan kes penyakit dan kematian di kawasan berbeza di Congo.

Ia sekali gus mencetuskan siasatan susulan bagi mengenal pasti punca dan memberikan sokongan yang diperlukan kepada orang ramai, menurut kenyataan WHO.  

Mereka yang terkena penyakit ini biasanya akan mengalami demam, sakit kepala, menggigil, berpeluh, leher kaku, sakit otot, sakit sendi dan badan, hidung berair atau berdarah, batuk, muntah serta cirit-birit.

Sekitar separuh daripada sampel yang diuji didapati positif malaria yang lazim di kawasan itu.

Namun, ujian makmal awal menunjukkan keputusan negatif bagi penyakit Ebola dan virus Marburg.

Ujian bagi meningitis masih diteruskan dan pihak berkuasa juga sedang menyiasat kemungkinan pencemaran makanan dan air.  

WHO berkata pihaknya menghantar bekalan perubatan kecemasan, termasuk kit ujian, serta "membangunkan protokol terperinci bagi meningkatkan siasatan penyakit."  

"WHO sedang membantu pihak berkuasa kesihatan tempatan memperkukuh langkah penyiasatan dan tindak balas, dengan lebih 80 petugas kesihatan komuniti telah dilatih untuk mengesan dan melaporkan kes serta kematian," kata organisasi itu. - Agensi.

 

Artikel Lain

Akhil Hayy terima menantu