suria

Ingatkan kacang hitam, lelaki terkejut rupanya aiskrim dibeli ‘berperisa’ ular!

Seorang lelaki terkejut menemui seekor ular dalam aiskrim yang dibelinya. -Foto Facebook/Thaiger

SEORANG lelaki terkejut apabila menemui seekor ular yang sudah 'membeku' dalam aiskrim yang dibelinya.

Menurut lelaki berkenaan, ketika membuka kertas bungkusan, dia menyangka pada bahagian atas aiskrim tersebut adalah kekacang hitam. 

Namun apabila diamati dengan teliti, dia terkejut apabila mendapati ia bukan kekacang hitam sebaliknya seekor ular kecil berwarna hitam bercampur kuning.

Lelaki dari Ratchaburi, Thailand itu memuat naik gambar aiskrim tersebut di media sosial dengan kapsyen bertulis 'ular bermata comel, kau dah mati ke belum? Aiskrim kacang hitam dari gerai tepi jalan. Ini gambar betul, situasi yang betul. Aku beli sendiri aiskrim ini'.

Perkongsian tersebut meraih lebih daripada 8,500 shares dan lebih 2,000 komen. 

Rata-rata warga maya tampil dengan pelbagai reaksi, dengan ada antara mereka meneka spesies reptilia berkenaan, selain melontarkan komen-komen lucu.

"Resipi baru, aiskrim berprotein tinggi!"

"Ini sebenarnya bahan utama. 

"Kamu pelanggan tetap... ini hadiah untuk kamu," komen mereka.

Menurut laman web Taman Negara Thai, ular tersebut adalah spesies ular pokok emas yangterkenal kerana keupayaannya memanjat pokok dan 'meluncur' di udara, menjadikannya spesies yang unik.

Ia hanya mempunyai bisa ringan dan terdapat di banyak negara, termasuk India, Bangladesh, Sri Lanka, Thailand dan Vietnam. -Agensi

Artikel Lain