suria

Terdesak selepas 2 kali keguguran... Wanita bunuh remaja hamil, belah perut untuk curi bayi

Sena dibunuh ketika sarat mengandung sembilan bulan.

SEORANG remaja hamil maut selepas perutnya dikelar oleh seorang wanita.

Lebih kejam, pembunuh turut membelah perut mangsa untuk mengambil bayi dalam kandungannya.

Mayat mangsa, Emilly Sena, 16, ditemukan di halaman belakang sebuah rumah di Cuiabá, Brazil, pada Khamis. 

Ketika kejadian, dia sedang sarat mengandung sembilan bulan.

Sena dikatakan diperdaya oleh Nataly Pereira, 25, yang menawarkan pakaian bayi percuma sebagai umpan untuk membawanya ke rumah itu. 

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor didakwa bunuh, kerat mayat kekasih hamil... Bimbang mangsa dedah hubungan sulit

Bagaimanapun, sebaik tiba, remaja itu diserang sebelum mayatnya ditanam di dalam kubur cetek di belakang rumah pelaku.

Selepas kejadian, Pereira membawa bayi itu ke Hospital Santa Helena dan cuba mendaftarkannya sebagai anak sendiri.

Namun, kakitangan hospital mula curiga apabila mendapati Pereira tidak menunjukkan tanda-tanda baru bersalin, malah kelihatan bersih tanpa sebarang pendarahan.

Pihak perubatan segera mengambil bayi tersebut untuk pemeriksaan dan menjalankan ujian ke atas Pereira yang akhirnya membongkar pembohongannya.

Wanita itu yang sudah mempunyai tiga anak, mengaku kepada pihak berkuasa dia mengalami dua keguguran berturut-turut sebelum ini.

Pada mulanya, suami Pereira, abang iparnya serta seorang lelaki lain turut ditahan, namun mereka dibebaskan pada pagi Jumaat selepas wanita itu mengaku bertindak sendirian. - Agensi.

 

Artikel Lain