SEORANG penganggur berusia 55 tahun didakwa memukul isterinya hingga mati menggunakan tukul kerana mengesyaki mangsa mempunyai hubungan sulit.
Menurut polis, tertuduh, Nurullah Haider memukul kepala isterinya, Asma Khan dengan tukul ketika bertengkar sehingga menyebabkan kematiannya.
Kejadian berlaku di Noida, India, pada Jumaat.
Mangsa berusia 42 tahun adalah seorang jurutera perisian dan bekerja di sebuah syarikat swasta.
Pasangan tersebut berkahwin pada 2005 dan mempunyai dua anak, iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Rambadan Singh berkata, anak lelaki pasangan itu terlebih dahulu melaporkan kejadian berkenaan kepada polis dengan mendail talian kecemasan.
"Sebaik menerima maklumat, pasukan dan pakar forensik kami tiba di tempat kejadian. Kami telah menahan tertuduh dan menghantar mayat mangsa untuk bedah siasat. Siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.
Siasatan awal mendapati suspek bertindak demikian kerana mengesyaki isterinya menjalin hubungan sulit dengan lelaki lain. -Agensi